Pakej Bajet Island Hopping Semporna!



Powered by 12Go system

Tuesday, December 31, 2019

Berbaloi Ke Pergi Nami Island?
Assalamualaikum & Hello Sunchasers| Pulau Nami yang terletak di Seoul  Korea Selatan merupakan salah satu lokasi wajib  datang  buat  para pelancong yang  berkunjung ke bumi kimchi ni. Rasanya rata rata pelancong dari Malaysia kenal akan pulau comel ini disebabkan penangan drama korea Winter Sonata. Daripada drama tu, kita dapat tengok keindahan Pulau Nami ni waktu musim sejuk yang ternyaa memukau. Saya pun tak terkecuali lah, memang sejenis yang layan drama drama sendu Korea juga masa zaman-zaman baru nak baligh dulu. Cumanya, waktu tengok drama ni dulu, hanya sekadar mampu kagum je lah dengan keindahan negara Korea Selatan ni, especially Pulau Nami,  tapi langsung tak pernah terlintas untuk datang dan tengok  dengan mata kepala sendiri.


Friday, October 18, 2019

4 Restoran Halal Perlu Cuba Di Seoul, Korea.
Assalamualaikum & Hello Sunchasers | Dua minggu yang lepas saya telah ke Korea Selatan atas urusan kerja. Ini merupakan kali kedua saya ke sana atas urusan yang sama. Tahun lepas saya datang sewaktu musim panas, tahun ini pula datang pada awal musim luruh. Harapnya tahun depan pergi musim sejuk pula lah. Hehe. Tahun lepas saya turun di Busan dahulu selama dua hari sebelum berangkat ke Seoul menaiki train dari Busan. Disebabkan kurang research dan kurang persediaan, trip saya tahun lepas memang agak kelam kabut sedikit. Jadi mengambil iktibar dari trip tahun lepas, Alhamdulillah trip kali ini lebih teratur. Sempat juga singgah beberapa tarikan utama di Seoul selepas selesai urusan kerja.

Untuk entri kali ini saya akan berkongsi dengan korang tentang restoran makanan halal yang sempat saya kunjungi sepanjang berada di sana. Disebabkan jadual kerja yang padat, bukan sepanjang 6 hari di sana tu saya sempat keluar makan, ada hari yang makan di bilik sahaja. Ini adalah 4 restoran Halal yang sempat saya kunjungi sepanjang di Seoul. Harap dapat membantu para travelers yang sebelum ini rasa sukar untuk temukan restoran makanan Korea Halal di Seoul.

Sunday, January 20, 2019

The Korea Manual : Perkara Perlu Tahu Sebelum Travel Ke Korea Selatan!

Winter Korea - What Do You Need to Prepare?

Selamat Tahun Baru kepada anda semua semoga tahun 2019 ini membuka lebih banyak peluang kepada anda untuk keluar melihat negara luar sambil menikmati kebesaran-Nya. Seperti yang anda tahu, menjelang akhir tahun sehingga bulan ke-tiga tahun berikutnya merupakan musim sejuk/musim salji di Korea. Untuk post kedua ini saya nak ceritakan serba sedikit tentang persiapan sebelum bercuti ke Korea pada musim sejuk ini. Pada tahun 2018, musim sejuk di Korea bermula agak awal dan salji pertama turun seawal bulan Oktober. Seperti yg saya sebutkan di post sebelum ini, suhu di ibukota Seoul pada bulan Januari boleh menjangkau -20C dan suhu tertinggi sekitar 6C. Oleh itu, perasaan berada di luar bangunan pada siang hari boleh diibaratkan seperti berada di dalam freezer yang ada di rumah kita, ditambah dengan kipas angin pada level maksima. Pada sebelah malam, bayangkan saja kesejukan pada siang hari di gandakan. Sejuk yang teramat, tetapi anda harus mengalamaninya paling kurang sekali dalam seumur hidup. Sesungguhnya pengalaman yang bermakna bagi kita yang datang dari negara Tropika.

Disebabkan tidak pernah mengalami musim sejuk di Malaysia, apa yang kita harus sediakan sebelum bercuti musim sejuk di Korea? Untuk post kali ini saya bukan saja nak share tips untuk persiapan Korea saja, tetapi juga boleh diguna-pakai untuk negara lain juga.


PAKAIAN
"Berapa helai pakaian saya kena bawa?""Tebal mana jaket yang patut saya beli?"
Persoalan ini yang paling kerap ditanya oleh mereka yang pertama kali bercuti musim sejuk. Untuk suhu sebegitu, seberapa tebal perlu anda pakai untuk mengekalkan suhu badan anda? Jawapannya, terpulang kepada anda. Adakah anda jenis yang tidak tahan sejuk? Sebagai contoh pada musim hujan saja anda tidak memasang kipas apatah lagi penghawa dingin dengan alasan, sejuk. Atau anda jenis yang tahan sejuk tetapi tak tahu sejuk di Korea takat mana? Okay, saya sarankan anda menyediakan 3 perkara wajib di bawah;

1) Heattech atau Long John | Heattech adalah baju dalam yang dipakai sebelum baju harian. Ianya terdiri daripda baju t-shirt lengan panjang dan seluar panjang seakan legging. Heattech diperbuat dari bahan serat (fiber) yang mampu mengekalkan kelembapan/suhu badan anda. Anda akan mudah merasa sejuk apabila suhu badan anda adalah sama dengan suhu di sekitar anda. Jadi, untuk mengelakkan anda merasa sejuk yang teramat di musim salji Korea, pastikan suhu badan anda terkumpul iaitu dengan cara memakai pakaian yang tebal atau pakaian yang diperbuat dari bahan fiber dan wool (bulu). 

Anda boleh dapatkan heattech terbaik di Uniqlo berdekatan anda atau kedai barangan travel seperti Universal Traveller dan Winter Time dengan harga sekitar RM40 - RM120 sehelai, dan RM100 - RM300 sepasang. Sekiranya anda mempunyai bajet yang sedikit, anda boleh beli sacara online melalui Shopee atau Lazada. Tentunya kualiti tidak setanding Uniqlo dan lainnya, tetapi untuk sekali pakai, ianya sangat berbaloi dan menjimatkan. Sekiranya anda tidak memiliki Heattech, anda boleh menggunakan alternatif lain seperti memakai inner sukan atau inner wanita bersama t-shirt lengan panjang.

Berapa helai kena bawa? Bagi saya, sehelai legging Heattech dan dua helai t-shirt Heattech sudah memadai. 

2) Sweater atau baju lengan panjang | Kedua ini merupakan pakaian asas untuk anda. Sweater boleh dipakai bersama t-shirt biasa atau t-shirt Heattech anda. Sekiranya anda ingin tampil cantik dan bergaya, saya cadangkan anda membeli baju lengan panjang yang di perbuat dari wool atau fleece. Apakah beza fleece dan wool? Fleece adalah bulu yang diambil terus dari haiwan dan digunakan untuk membuat pakaian, manakala wool adalah bulu yang telah di proses dan di campur dengan beberapa bahan lain sebelum digunakan sebagai bahan membuat pakaian. Terdapat satu lagi jenis bulu iaitu bulu sintetik; bulu yang tidak datang dari haiwan. Apa kepentingan memakai baju yang diperbuat dari bulu? Bulu dapat mengekalkan suhu badan anda sekaligus membuatkan tubuh badan anda berasa hangat.

Berapa helai kena bawa? Sekiranya anda travel sebagai backpacker, dua pasang sweater sudah cukup. Sehelai dipakai semasa menaiki kapal terbang, dan sehelai lagi sebagai alternatif semasa di destinasi nanti. Tidaklah terlihat boring memakai sweater yang sama setiap hari. Tetapi sekiranya anda sejenis yang pentingkan penampilan, terpulang kepada anda untuk membawa seberapa banyak sweater atau baju lengan panjang yang anda ada.

3) Coat atau jaket tebal | Agak mustahil untuk anda bercuti ke Korea pada musim sejuk sekiranya anda tidak memiliki Coat atau Jaket yang tebal. Mungkin ianya tidak mustahil sekiranya anda memakai 5 hingga 6 lapisan pakaian. Tetapi, nak ke anda memakai 5,6 lapisan pakaian setebal kuih lapis? Pastinya, tidak, kan? Jadi, saya wajibkan anda membawa sekurang-kurangnya sehelai coat. Sama seperti Heattech, anda boleh dapatkan di Uniqlo, Universal Traveller dan Winter Time tetapi dengan harga yang agak mahal iaitu sekitar RM300 – RM2000. Tetapi, anda tak perlu risau kerana Shopee dan Lazada ada. Atau alternatif lain, anda boleh mengunjungi bundle berdekatan anda untuk membeli dengan harga yang jauh lebih murah. Tidak perlu membazir untuk membeli coat yang hanya dipakai sekali percutian sahaja. Lain lah jika anda ada bercadang untuk bercuti musim sejuk di tempat lain pula pada masa akan datang.

Apakah ciri-ciri coat yang anda perlu bawa? Jawapannya, terpulang kepada cita rasa anda, yang penting coat yang anda beli adalah sesuai untuk cuaca musim sejuk dan bukan untuk kegunaan musim luruh. Kerana ketebalan bagi coat kedua musim ini adalah berbeza disebabkan perbezaan suhu. Antara jenis-jenis coat yang popular adalah; 
Padded Jacket
 Parka
Wool Jacket

Kelebihan menggunakan Padded Coat seperti gambar diatas adalah ianya kalis air dan sekiranya hujan atau ketika salji turun, anda tidak perlu risau air yang sejuk akan meresap masuk ke pakaian anda. Tetapi, memakai padded coat membuatkan anda kelihatan lebih besar. Saya secara peribadi tidak berminat pada padded coat disebabkan perkara ini kerana sudah semestinya wanita suka bila kelihatan kecil dan tinggi. Kelebihan Parka dan Wool Jacket pula, anda terlihat lebih bergaya dan kurang puffy. Tetapi, beberapa parka dan wool jacket adalah tidak setebal padded jacket, jadi anda harus bijak mencari parka dan wool jacket yang tebal untuk lebih praktikal disamping bergaya.

Berapa helai kena ada? Satu. Sekiranya anda ingin menukar penampilan, anda boleh bertukar dengan rakan atau ahli keluarga anda. Atau, anda boleh beli coat yang baru di Korea kerana harganya agak berpatutan iaitu RM120 - RM400 di kawasan shopping berdekatan universiti seperti Hongdae dan Edae.


SARUNG TANGAN
Tangan adalah bahagian tubuh yang paling banyak terdedah dengan udara yang sejuk selain muka dan kepala (bagi lelaki). Pernahkah anda memegang ais terlalu lama sehingga tangan anda berasa sangat panas dan seakan tidak berasa apa-apa? Situasi yang sama akan terjadi sekiranya anda tidak menggunakan sarung tangan atau mengeluarkan tangan anda dari poket jaket untuk tempoh yang lama. Saya sarangkan anda menyediakan paling kurang sehelai sarung tangan Daiso yang berharga RM5.90 sahaja. RM5.90 anda akan menyelamatkan tangan anda dari beku yang akan sekaligus menghilangkan mood anda untuk menangkap gambar menggunakan Handphone anda.
Saya personally suka sarung tangan yang boleh digunakkan untuk touch screen seperti diatas, jadi saya tak perlu membuka sarung tangan setiap kali nak menggunakkan handphone.


SCARF / MUFFLER
Apa yang terjadi sekiranya hidung dan mulut anda terdedah dengan udara sejuk terlalu lama? Hidung anda akan bertukar merah seperti badut dan sukar untuk bernafas, manakala bibir akan merasa seolah-olah beku sehinggakan anda megalirkan air liur secara tidak sengaja dan ianya sukar untuk dikawal. Jadi untuk bahagian muka, anda boleh menggunakan scarf atau muffler dan lilitkan di bahagian leher anda kemudian tarik sedikit ke muka sehingga menutupi bahagian hidung dan mulut anda. Sekiranya anda tidak mempunyai bajet yang lebih, anda boleh menggunakan mana-mana shawl cotton atau pashmina anda. Dan alternatif lain adalah dengan menggunakan face-mask seperti gambar oppa dan nuna Korea. Mask di bawah saya beli di Mr. DIY dengan harga RM1.80 dan mempunyai 10 helai mask. Good deal!


EARMUFF
Untuk lelaki atau yang tidak bertudung, anda boleh melindungi telinga dengan earmuff yang juga boleh didapatkan di kedai-kedai di kaki lima atau di dalam stesen subway/train di Korea. Kerana telinga juga adalah anggota badan yang perlu dilindungi daripada membeku atau bertukar merah seakan goblin. Alternatif bagi earmuff adalah beanie.


HEAT PACK
Sekiranya anda berdegil untuk tidak mahu memakai sarung tangan, anda boleh menggunakan heat pack seperti gambar dibawah. Anda boleh mendapatkan heat pack ini di Daiso berdekatan anda dengan harga RM5.90 untuk 8, 6 atau 3 helai, bergantung kepada saiz. Di Korea, anda boleh mendapatkan heat pack pada harga serendah 800won sehelai, iaitu sekitar RM3. Cara menggunakan heat pack ini senang sahaja. Keluarkan heat pack dari plastik dan goncangkan hanya ketika anda ingin menggunakannya. Goncang sehingga anda mula merasa kehangatan dari heat pack tersebut. Satu heat pack boleh bertahan sehingga 8 jam. Anda boleh meletakkan heat pack di dalam poket jaket anda dan menggunakkannya ketika tangan mula berasa sejuk. Atau anda boleh meletakkan di mana-mana bahagian tubuh yang kerap terasa sejuk seperti betis, tapak kaki dan lain-lain.


BOOTS
Saya cadangkan anda menggunakan boots atau kasut yang mempunyai tapak yang kasar untuk memudahkan anda berjalan dipermukaan ais. Salji yang sudah lama di atas permukaan jalan, akan bertukar menjadi ais dan membentuk permukaan yang sangat licin. Anda boleh dapatkan boots yang bergaya dengan harga berpatutan di Zara atau H&M dengan harga sekitar RM80 keatas. Sekiranya anda inginkan boots yang berkualiti, anda boleh dapatkan boots Timberland atau Dr. Martens bermula dari RM350. Atau, anda boleh dapatkan boots yang jauh lebih murah di Shopee atau Lazada. Saya masih menggunakan Hawkeye’s boots yang saya beli pada tahun 2012 dengan berharga RM230 sehingga sekarang. Boots ini tidak mempunyai tapak yang mencengkam tetapi mamadai untuk cuaca yang sejuk kerana fabriknya adalah kulit yang agak tebal dan selesa dan yang paling penting kalis air.


SARUNG KAKI
Sila dapatkan sarung kaki yang diperbuat dari bulu kerana disamping menghangatkan kaki, fabrik berbulu dapat mengelakkan kaki dari berpeluh. Anda boleh dapatkan sarung kaki berbulu di Sox World dengan harga sekitar RM30-RM60 sepasang. Anda juga boleh memakai sarung kaki yang diperbuat dari cotton, tetapi keburukan dari sarung kaki cotton adalah kaki akan kerap berpeluh. Oleh itu, anda perlu menukar sarung kaki sekurang-kurangnya sehari sekali. Tetapi anda tak perlu risau untuk membawa sarung kaki cotton yang banyak, kerana anda boleh mendapatkan sarung kaki comel di Korea dengan harga serendah 550won sehelai, iaitu lebih kurang RM2. Dengan boots yang saya sebutkan diatas, saya hanya menggunakan sarung kaki biasa yang diperbuat dari kain cotton dan hanya membawa sehelai sarung kaki dari Malaysia dan selebihnya saya borang di Korea.


UBAT-UBATAN
Pada perubahan cuaca dan suhu, badan kita memerlukan masa untuk beradaptasi. Sesetengah orang akan mengalami tidak balas seperti demam, selsema dan batuk. Sesetengah orang yang mengalami alahan seperti asma dan resdung juga berkemungkinan untuk mengalami sedikit ketidak-selesaan. Oleh itu saya cadangkan anda membawa ubat-ubatan dari Malaysia yang sudah semestinya jauh lebih murah dari Korea dan terjamin kandungannya. Untuk membeli ubat-ubatan di Korea, anda perlu memahami tulis Korea untuk mengetahui isi kandungan ubat tersebut, tetapi di Malaysia ianya jauh lebih mudah. Sediakan payung sebelum hujan. Dengan mengambil langkah sebegini, anda dapat berjimat dan dapat mengelakkan dari sebarang perkara yang tidak diingin berlaku, seperti terpaksa dimasukkan wad atau sebagainya.

Bonus kepada post kali ini, saya cadangkan anda membeli polisi Travel Insurance sebelum bercuti ke Korea atau kemana-mana sekalipun tidak kira di luar atau di dalam negara kerana malang tidak berbau. Anda mahukan pengalaman percutian yang indah bukan? Jadi, pastikan perjalanan anda dilindungi dan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, anda tidak perlu risau.

Okay, sekian sahaja dari saya untuk post kali ini. Saya akan bercuti ke Korea pada 19hb hingga 27hb Januari 2019 dan saya akan berkongsi lebih banyak lagi di blog peribadi saya dan juga di www.chasingthesuns.com. Jadi, stay tuned sehingga post akan datang, iaitu pada 17hb setiap bulan. Kan boss? Hehe.

By Chasing The Sun Guest Writer




Keperluan Asas Musim Sejuk Korea, Korea, Makanan Halal Korea, Musim Salju Korea, Winter Korea, 

Monday, December 17, 2018