Pakej Bajet Island Hopping Semporna!



Powered by 12Go system

Saturday, September 21, 2019

6 Makanan Tradisi Pantai Timur Kita Perlu Tahu!


Assalamualaikum readers | Negara kita Malaysia sememangnya popular dengan makanan. Sebut sajalah bila dan di mana, rakyat Malaysia pasti tidak akan menolak pelawaan untuk makan kan? Pernah berkunjung ke negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia? Apa istimewanya yang ada di sini? Menjadi kebiasaan di negara kita untuk mempunyai makanan tradisi masyarakat tempatan walau di mana sahaja kita berada dan negeri-negeri di Semenanjung Pantai Timur juga tidak terkecuali. Berikut adalah makanan tradisi yang popular di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia khususnya Kelantan, Terengganu dan Pahang. 

1. Nasi Kerabu

Nasi Kerabu merupakan makanan tradisi rakyat Kelantan sejak dahulu kala lagi khususnya dijadikan sarapan di waktu pagi. Lazimnya nasi kerabu terbahagi kepada dua iaitu ‘Nasi Kerabu Putih’ dan ‘Nasi Kerabu Biru (versi moden). Nasi kerabu putih selalunya dimakan bersama dengan kuah tumis manakala tidak bagi yang biru. Namun demikian, sekarang terdapat banyak sekali kedai-kedai makan yang turut menghidangkan nasi kerabu biru berserta kuah tumis sekali. Kira macam versi kahwin lah,haha. 

Susunan hidangan nasi kerabu yang biasa adalah dimulai dengan nasi, ulam, sambal kelapa, kuah tumis dan budu manakala versi yang biru hanya dimakan dengan ulam, sambal kelapa dan sambal cili. Di dalam pinggan yang sama, diletakkan beberapa keping keropok goreng dan dimakan dengan daging bakar atau telur masin. 


2. Budu 

Tidak lengkap lawatan anda ke Pantai Timur sekiranya tidak mencecah budu. Budu diibaratkan sebagai pelengkap kepada hidangan makanan anda tidak kiralah sama ada nasi putih ataupun nasi kerabu. Budu ; iaitu sos ikan bilis merupakan antara makanan yang berusia ratusan tahun dahulu adalah sebenarnya pekasam daripada ikan bilis. Lazimnya, budu dihidangkan bersama cili padi, mempelam, perahan air limau nipis dan tempoyak dan ulam-ulaman. Namun, bergantung juga kepada kekreatifan seseorang penggemar.  #layannzz

3. Nasi Dagang

Nama 'Nasi Dagang' ini diberi atas faktor sejarah dahulu yang menjadikan nasi ini sebagai makanan yang diper'dagang'kan dek keranan kualitinya yang sedap, mengenyangkan dan tahan lama. Hidangan ini tidak hanya tertumpu di Terengganu sahaja bahkan juga di Kelantan dan wilayah-wilayah selatan Thai. Nasi Dagang sinonimnya dihidangkan bersama kuah gulai ikan tongkol bersama 'jelatah' (acar sayuran ; hirisan timun, lobak merah dan bawang merah)sebagai pelengkap hidangan. 

4. Keropok Lekor (Losong)

Keropok Lekor di sebuah tempat yang bernama 'Losong' amat popular di negeri warisan persisir pantai ini. Dikenali juga dengan nama 'Kepok Gote' oleh masyarakat tempatan, makanan tradisi ini merupakan campuran isi ikan dan sagu yang kemudiannya digentel sehingga terbentuk seperti sosej yang berwarna putih-kelabu amat popular kerana kelembutannya apabila direbus dan kerangupannya apabila digoreng. 

Kebiasaanya, masyarakat tempatan menjadikan keropok lekor sebagai snek di waktu petang lepas Solat Asar dan dihidangkan bersama air Teh 'O' ataupun Kopi 'O' panas sambil layan lagu rakyat. Memang Terangkat bebb! #syahdu

5. Gulai Tempoyak Ikan Patin


Hidangan yang merupakan hak milik rakyat negeri Pahang ini amat popular khususnya yang tinggal di daerah Pahang Barat seperti Lipis, Jerantut, Temerloh, Raub dan sekitarnya. Biasanya ikan yang digunakan dalam gulai tempoyak ini adalah ikan Patin dan rasanya memanglah amat-amat sedap lebih-lebih lagi kalau ikan patin dari Sungai Pahang. Terdapat dua jenis ikan patin yang sering digunakan iaitu Ikan Patin Sungai dan Ikan Patin Sangkar Sungai.

Atas faktor pengalaman penduduk setempat, mereka mengatakan bahawa Ikan Patin Sungai lebih sedap jika dibuat gulai dan harganya juga mahal ; antara RM100-RM300 sekilo! Perghh, mahal bebb! Bagi patin sangkar sungai pula, tidak kurang hebatnya kerana lazimnya ikan-ikan patin ini diternak di dalam sangkar di sepanjang persisir Sungai Pahang dan tidaklah berbau hanyir seperti kebiasaan ikan-ikan sungai. 

Harga ikan patin sangkar sungai pula kebiasaannya antara RM15-RM17 sekilo. Pengalaman saya sendiri mencuba Gulai Tempoyak Ikan Patin di Jerantut meninggalkan kesan yang amat dalam di sanubari kerana sehingga sekarang masih terbayang keharuman dan kesedapan masakan tersebut. #kecurairliur

6. Sambal Hitam

Sambal hitam merupakan pembuka selera yang sangat terkenal di Pahang. Sambal adalah makanan pelengkap dalam setiap masakan melayu. Sambal biasanya mempunyai rasa manis, masin, pedas dan masam yang digabungkan menjadi satu rasa yang cukup sedap. Sambal ini kelihatan hitam disebabkan oleh satu bahan penting dalam sambal ini iaitu belimbing buluh rebus. Belimbing buluh mentah direbus bersama garam dalam masa yang lama menjadikan ia kelihatan kecut dan berwarna hitam kecoklatan. 

Kaedah penyediaannya yang unik dan tradisional menjadikan sambal ini sukar didapati di negeri lain di Malaysia. Jadi, amatlah rugi sekiranya kalian berkunjung ke negeri Pahang tapi tidak menyempatkan diri untuk merasa kesedapan Sambal Hitam ini.  #dappempphh

Baiklah, setakat itu sahaja perkongsian dan tips untuk kalian yang berniat mahu berkunjung ke negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Jangan khuatir, itu hanyalah sedikit peratusnya daripada keseluruhan makanan yang ada di sini. Jangan terkejut apabila anda bertemu dengan pelbagai lagi menu-menu warisan tradisi masyarakat setempat dan rasanya yang sedap pula tu! Berjumpa lagi di lain entry. Assalamualaikum. #GomoKelateGomo #PetehGanuPeteh #HogohPahangHogoh


By Chasing The Sun Guest Writer




Previous Post
Next Post

post written by:

0 comments: