Pakej Bajet Island Hopping Semporna!



Powered by 12Go system

Saturday, September 21, 2019

Kembara Sabah V.1 - Tabin Wildlife Resort | 2 Hari 1 Malam Mendekati Alam

Assalamualaikum & Hello Sunchasers! 11hb - 15hb September tempoh hari saya telah berkesempatan untuk menyertai Media FAM Trip ke Lahad Datu & Sandakan Sabah. Sedih terpaksa tinggalkan Hana untuk beberapa hari tapi pada masa yang sama, teruja untuk kenali rakan-rakan baru dan terokai keindahan alam Negeri di Bawah Bayu, Sabah.

Kalau ada yang ikut saya di Instagram (@Kimijamai) pasti perasan untuk gambar-gambar di Sabah tempoh hari, saya turut sertakan #VisitMalaysia2020 dan #VisitSandakan sebagai satu initiatif untuk mempromosikan produk produk perlancongan khususnya di Sandakan dan Lahad Datu, Sabah ini. Untuk perkongsian kali ini, saya ingin membawa korang semua masuk jauh ke dalam hutan, bebas dari sesak dan kekalutan bandar, untuk mendekati alam di Tabin Wildlife Resort, Lahad Datu.



Sejurus mendarat di Lapangan Terbang Tawau, saya dan 22 penulis blog/influencer lain dibawa menaiki bas menuju ke Lahad Datu yang mana perjalanannya mengambil masa kurang lebih 2 jam. Setiba di Lahad Datu, kami dibawa ke salah sebuah restoran seafood paling best di Lahad Datu iaitu, Dovist Restaurant.


Selepas makan tengah hari, kembara kami diteruskan lagi dengan menaiki van pula. Van ini akan bawa kami masuk ke Tabin Wildlife Resort, dikhabarkan laluan ke sana tidak sesuai untuk dilalui bas jadi kami semua dipecahkan kepada 3 kumpulan menaiki 3 buah van. Masa tu dalam hati "wow, tempat ni pasti pedalaman yang dalam gila ni, sampai bas pun tak boleh nak masuk, nice!". Teruja sekejap.


Perjalanan dari papan tanda Tabin Wildlife Resort untuk sampai ke lokasi sebenar resort ini mengambil masa lebih kurang sejam lebih. Sepanjang perjalanan, kami dihidangkan dengan pemandangan ladang pokok kelapa sawit yang sayup seluas mata memandang. Sebenarnya saya perasan, dari Tawau tadi lagi memang banyak sangat kami lalu di  sebelah ladang kelapa sawit, rasanya Sabah ni mesti antara kuasa besar pengeksport minyak kelapa sawit sekurangnya di rantau Asia Tenggara.

Kembali ke perjalanan menuju Tabin Wildlife Resort. Setelah sejam lebih di dalam Van, kami akhirnya tiba di perkarangan Tabin Wildlife Resort yang terlihat sangat tenang dan sangat ekslusif. Ketibaan kami disambut mesra oleh para pekerja di situ dengan memakaikan lilitan daun pandan di kepala kami semua. Terasa macam artis jemputan dalam rancangan travel RTM1 jam 1.30pm.
Sesudah selesai briefing tentang tentatif selanjutnya, kami diberikan kunci dan dibawa ke bilik ataupun lodge masing-masing. Di Tabin Wildlife Resort terdapat 20 lodges yang terbahagi kepada dua iaitu Hill Lodge (bilik di pinggiran bukit) dan River Lodge (bilik di tepian sungai). Untuk kumpulan kami, lelaki diberikan Hill Lodge & wanita dapat River Lodge.

Saya berkongsi bilik dengan 2 lagi rakan blogger/influencer. Bilik kami bernombor 10. Bilik Hill Lodge yang paling hujung dan paling tinggi! haaa.. Jenuh jugak mendaki, tapi sumpah berbaloi. Pemandangan dekat atas tu memang tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata. Hijau, aman tenang dan sunyi. Hanya bertemankan alam.


Masuk ke dalam bilik Hill Lodge ni, kami disambut suasana resort mewah yang luas, rustic dan sedikit 'hipster'.  Sangat unik kerana pada realitinya kami berada jauh ditengah hutan, tapi dari dalam biliknya, terasa seperti kami masih di bandar, modern dan sangat selesa! Saya mula-mula ingatkan biliknya biasa biasa saja sebab yelah, dalam hutan kan, nyata saya salah. Kalau korang ada peluang datang sini, pilihlah Hill Lodge 10 ni ok!


Setelah selesai salin pakaian dan bersihkan diri, kami bergegas ke bawah untuk tentatif selanjutnya iaitu sesi pengenalan lebih lanjut tentang latar belakang Tabin dan kawasan resort, hutan simpan sekitar Tabin dan juga hidupan liar yang terdapat di sini.

Kami dibawa ke Tabin Visitor Centre di mana kami diberikan penerangan dan perkongsian oleh renjer yang bernama En.Mawi, lucu dan sangat peramah orangnya. Antara yang menarik di Tabin Visitor Centre ini adalah terdapat jasad seekor Badak Sumbu yang telah mati dan diawet bertujuan untuk memberikan peluang kepada pengunjung untuk melihat lebih dekat rupa bentuk Badak Sumbu ini. Badak Sumbu ini mati akibat Kanser di bahagian mulutnya dan juga kerosakan organ dalaman akibat dari Kanser tersebut.


Night Safari @ Tabin Wildlife Reserve

Selesai makan malam, kami semua bersiap sedia untuk ke aktiviti seterusnya yang juga salah satu tarikan utama di Tabin Wildlife Resort ini iaitu Night Safari di sekitar hutan simpan Tabin ini. Kami dibawa menaiki lori selama sejam untuk melihat aktiviti haiwan di waktu malam. Kata renjer yang bersama kami, kalau bernasib baik, dapatlah tengok Gajah ataupun Borneon Banteng malam ni.

Satu pengalaman yang tak pernah saya rasa sebelum ni. Dulu kalau dengar orang cakap pasal night safari, mesti saya skeptik. "Buat apa pergi tengok binatang malam-malam? nampak apa?", itulah yang saya selalu fikirkan dulu, tapi bila dah rasa sendiri keterujaannya, haa sekarang dah mula teringin nak balik ke Tabin! Antara haiwan yang kami berjaya spot malam tu adalah, Colugo, Leopard Cat, Kelawar Flying Fox , Burung Hantu dan Burung Helang. Nak tunjuk gambar pun tak berapa nampak, sebab gelap dan kami tak dibenarkan guna flash sebab takut mengganggu haiwan tu semua.



Main Lumpur @ Lipad Mud Volcano

30 minit dari Tabin Wildlife Resort ni terdapat satu lagi tarikan unik yang jarang sekali kita dengar. Malah, untuk saya sendiri, ni pertama kali saya dengar yang kita ada benda ni di Malaysia. Mud Volcano! 

Pagi keesokkan harinya, kami bergerak keluar masuk kedalam hutan seawal yang mungkin. Jam 6.30am kami sudah bergerak ke Lipad Mud Volcano. Mujur di Sabah ini cerah awal, jadi walaupun jam masih 6.35am tapi hari sudah cerah seperti 7 lebih.  Destinasi pagi ini adalah Lipad Mud Volcano yang terletak tidak jauh dari resort kami.

Lebih kurang 15 minit menaiki lori dan tambahan 15 minit lagi berjalan kaki. Itu adalah tempoh masa untuk tiba di Lipad Mud Volcano ini. Sepanjang perjalanan, renjer kami sekali lagi menerangkan setiap satu dairpada hidupan liar yang kami jumpa sebelum tiba ke lokasi yang kami tujui.

Tapak Kaki Gajah!

Setiba sahaja di kawasan mud volcano itu, perkara pertama yang terkelihatan adalah menara pemerhati hidupan liar dan juga kawasan tanah yang sepertinya tandus seluas sebuah padang bola sepak. Di tengahnya rupanya terdapat sumber air dan lumpur yang menjadi minuman dan makanan sesetengah hidupan liar.

Saya terus naik ke atas menara pemerhati itu untuk melihat pemandangan yang lebih jelas manakala ada segelintir dari kami yang terus ke sumber lumpur tersebut. Menara ini digunakan untuk melihat dan mengkaji tingkah laku haiwan yang datang bagi memanfaatkan lumpur disini. Menurut renjer kami, sesetengah kes ada yang bermalam diatas menara ini. Dari atas menara ni memang dapat lihat kawasan sekitar Tabin & Lipad ni. Rugi siapa yang tak naik tuu.
Setelah puas menikmati pemandangan dari atas tower, saya bergegas turun untuk bersama dengan rakan-rakan yang lain 'bermain' lumpur. Nasihat daripada renjer kami, kalau nak sapu lumpur di muka, cari lumpur yang masih baru. Cara nak kesan lumpur yang masih baru tu adalah tengok kawasan yang berbuih mcm air menggelegak. Dikhuatiri kalau ambik lumpur yang lama,mungkin sudah di cemari haiwan. 

Saya pun cuba lah sapu sikit dekat muka, alang alang dah sampai sini kan? Bila lagi nak dapat peluang macam ni. Satu pengalaman baru yang akan saya ingat sampai bila-bila. Ni kalau Hana ada sekali, mahu dia tapau lumpur ni bawa balik Kedah.
Selesai bermain lumpur, kami terus pulang ke Tabin Wildlife Resort untuk upacara pemberian Mud Certificate sebagai bukti bahawa kami pernah sampai ke Lipad Mud Volcano. Ianya satu sijil kosong yang kemudiannya di'cop'kan oleh tangan kami sendiri yang disapukan dengan lumpur. Setiap sorang peserta dapat satu. Habis upacara itu, kami pun berangkat pergi dari Tabin Wildlife Resort dan bersiap sedia untuk pengembaraan yang seterusnya.


Keseluruhanya, walaupun cuma 2 hari 1 malam disini, banyak perkara yang saya pelajari dan kesemua aktiviti yang kami buat disini adalah pengalaman pertama buat saya sendiri. Terima kasih buat semua team di Tabin Wildlife Resort yang membantu dan berkongsi ilmu dengan kami sepanjang penginapan kami.

Korang kalau betul-betul nak tinggalkan hiruk pikuk bandar dan kenali alam dengan lebih dekat, datanglah ke sini! Saya sertakan link untuk ke website Tabin Wildlife Resort di bawah kalau korang nak buat tempahan ataupun nak dapat lebih maklumat. Itu saja untuk kali ni, kita jumpa di lain entri! Assalamualaikum.



Previous Post
Next Post

post written by:

0 comments: