Pakej Bajet Island Hopping Semporna!



Powered by 12Go system

Sunday, July 5, 2020

Assalamualaikum | Peringatan:“Tulisan“ ini hanya bercerita mengenai pengalaman di Iran sahaja. Memandangkan ia adalah lawatan kerja, saya tak dapat berceritakan mengenai bajet dan itinerary. Jadi saya akan berceritakan pengalaman saya di Iran yang saya “pandang rendah” sebelum ini.

Jadi apa tanggapan saya mengenai Iran sebelum ini? Iran adalah salah satu negara Timur Tengah dan tanggapan kebiasaan mengenai negara-negara Timur Tengah iaitu padang pasir, permukaan bumi yang landai, tak banyak pokok, panas dan seni bina dari tanah. TAPI.. saya salah. Iran adalah negara dalam benua Asia dan terletak di Asia Barat. Atau dengan kata mudahnya, apabila anda di Iran, anda akan lihat Iran seperti satu gabungan Timur Barat dan negara empat musim. 

Fun fact : Iran adalah salah satu negara Islam yang dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat. Salah satu sebab adalah Iran merupakan musuh Arab Saudi sejak dahulu lagi. Arab Saudi dan AS adalah “kawan baik” dan ada kajian yang mengatakan Arab Saudi “digunakan” oleh AS untuk mengawal dan mengeksploitasi negara-negara Islam yang lain terutamanya yang kaya dengan bahan mentah. (Atau kalau rajin, boleh baca kajian ini : Islamophobia in the West and Post 9/11 Era by Bukhari, S. A. U. Z. H., Khan, H., Ali, T. & Ali, H. 2019.). Seronok sebenarnya bila membaca mengenai hubungan antarabangsa sesuatu negara. Okay, sambung semula mengenai Iran.

1. Tehran

Penerbangan ke Iran menggunakan Emirates dan transit di Dubai

Saya ke Iran pada Mac 2019 dan pada waktu ini, ia adalah penghujung musim salji. Suhu yang paling saya gemari apabila ke negara empat musim. Salji sudah tidak kelihatan di jalan raya tetapi salji masih kelihatan di gunung-ganang sekitar Tehran. Sangat cantik.

Tehran ketika matahari terbenam

Saya menginap di Espinas Palace Hotel. Hotel ini terletak di atas bukit dan gambar di atas diambil dari hadapan hotel manakala gambar di bawah adalah pemandangan dari belakang hotel. Memandangkan hotel ini terletak di atas bukit, anda akan nampak pemandangan gunung apabila menggunakan lif atau ketika bersarapan. Ada juga terdetik dalam hati kalau-kalau boleh trekking atau hiking, tetapi mungkin lain kali kalau berkesempatan ke Iran untuk backpack, insya Allah.

Sebenarnya apabila saya mengembara, saya suka menulis itinerari berdasarkan bajet yang telah ditetapkan dan saya akan pilih tempat-tempat yang pelancong tak berminat nak pergi terutamanya yang ada alam semulajadi. Tetapi, memandangkan ini hanyalah lawatan kerja, tempat-tempat yang saya pergi adalah terhad dan semuanya tempat pelancong. Dan saya juga tak buat sebarang bacaan dan hanya ikut ke tempat-tempat yang telah ditetapkan. Berbeza dengan kebiasaannya yang mana kalau saya menulis itinerari, saya akan baca betul-betul mengenai sejarah tempat-tempat yang saya nak pergi dan ia lebih menyeronokkan. Jadi, saya telah kumpulkan gambar-gambar kegemaran saya dan harap-harap, ia dapat sedikit sebanyak menunjukkan Iran dari mata seorang pelancong seperti saya (ketika itu).

Gambar sekitar Tehran yang sentiasa ada pemandangan gunung.

2. The Sa'dabad Palace Complex

Kompleks ini dibina pada abad ke-19 oleh Dinasti Qajar yang berketurunan Turki dan kemudian diduduki oleh Dinasti Pahlavi pada tahun 1920an, monarki Iran yang terakhir sebelum Revolusi Iran 1979. Selepas revolusi ini, kompleks ini ditukarkan kepada muzium awam. Yuran masuk dikenakan dan anda boleh berjalan kaki atau naik buggy car yang disediakan. Tetapi saya lebih suka untuk berjalan kaki untuk lebih menikmati pemandangan dan alam semulajadi menggunakan 5 deria rasa. Perasaan yang berbeza yang tak dapat digambarkan dengan perkataan dan menggunakan deria penglihatan sahaja tidak mencukupi.
Dalam kompleks ini juga ada banyak pokok. Sesuai untuk mereka yang suka bergambar.
Berhadapan Shahvand Palace atau Green Palace Museum

3. Shiraz

Kemudian saya ke selatan Tehran iaitu Shiraz. Shiraz adalah bandar yang terkenal dengan wain. Di Iran, terdapat banyak beer yang dihidangkan di restoran-restoran di Iran. Saya juga menggunakan peluang tersebut untuk cuba pelbagai jenis beer yang ada. Tapi jangan salah faham. Di Iran, beer mereka tiada alkohol dan diperbuat daripada bijiran seperti barli. Alkohol adalah haram di Iran dari segi pengeluaran, penjualan dan pembelian. Jadi mereka mengeluarkan non-alcoholic malt beverages yang diperbuat dengan proses yang berlainan dengan alcoholic beer. Beer di Iran rasa seperti air bikarbonat sahaja. 
Menggunakan penerbangan domestik, Mahan Air untuk ke Shiraz
Bandar Shiraz

Shiraz mempunyai permukaan yang lebih landai berbanding Tehran tetapi ia masih dikelilingi gunung-ganang yang sangat menyejukkan mata. Dari bandar Shiraz, saya menggunakan van untuk ke Persepolis atau dikenali sebagai The City of Persians. Terdapat bayaran masuk dikenakan. Persepolis adalah tapak UNESCO yang dianggarkan mula dibina seawal 550–330 BC oleh empayar Iran yang pertama, Achaemenid Empire oleh Darius I sebelum dimusnahkan oleh Alexander the Great pada 330BC. Persepolis mempunyai sejarah yang panjang dan rumit dan ia adalah salah satu bandar terbesar di Persia suatu ketika dahulu. Memang panjang ceritanya, sampai esok pun belum tentu habis cerita.
Dalam perjalanan ke Persepolis
Persepolis dibina di kawasan gunung dan kalau anda perhatikan betul-betul di gunung itu, terdapat beberapa pintu yang menyerupai pintu gerbang dan pintu itu sebenarnya adalah makam-makam diraja yang dibina di dalam gunung.
Dari laluan masuk
Ini adalah salah satu makam diraja. Untuk ke makam diraja, anda perlu hiking sedikit.
Pandangan sebahagian Persepolis dari atas

4.Vakil Bazaar


Kalau anda suka membeli-belah, anda boleh ke Shiraz Traditional Market atau Vakil Bazaar.Di Bazaar ini, anda boleh dapatkan bermacam-macam cenderahati yang cantik-cantik dan kebanyakannya adalah buatan tempatan seperti barangan sulam, karpet, pinggan mangkuk dan macam-macam lagi. Suasana yang lebih kurang seperti bazar di Turki. Kalau anda pandai tawar-menawar, inilah tempat untuk anda. Tetapi kalau tak pandai tawar-menawar macam saya, mampu lihat sajalah dan hanya beli kalau ada harga yang sama dipaparkan seperti kedai-kedai yang lain.
Pintu masuk Vakil Bazaar
Sekitar Vakil Bazaar juga terdapat beberapa tarikan pelancong. Salah satunya adalah The Arg of Karim Khan atau Karim Khan Citadel yang dibina ketika Dinasti Zand. Bangunan ini pada mulanya adalah tempat tinggal Karim Khan Zand. Kemudian, ketika Dinasti Qajar, bangunan ini dijadikan tempat tinggal pemerintah tempatan. Walaubagaimanapun, ketika Dinasti Pahlavi, bangunan ini bertukar menjadi penjara dan sekarang telah pun menjadi muzium. Saya tidak berkesempatan untuk masuk tetapi seni binanya memang menarik.
The Arg of Karim Khan pada waktu malam

5. Qur’an Gate

Pada waktu malam, saya ke Qur’ran Gate atau Shiraz Gate. Pada zaman Dinasti Zand, al-Quran yang bertulisan tangan oleh Sultan Ibrahim bin Shahrukh Gurekani telah disimpan di dalam bilik kecil di atas pintu gerbang tersebut. Tetapi, pada zaman Dinasti Qajar, pintu gerbang ini telah banyak kali musnah akibat gempa bumi dan telah dibaik-pulih banyak kali sehinggalah al-Quran tersebut dibawa dan disimpan di Pars Museum hingga kini.


6.Shāh Chérāgh Mosque


Ini pula adalah salah satu masjid yang tercantik di Iran iaitu Shāh Chérāgh Mosque. Dibina oleh arkitek tempatan dan seni bina tradisional yang sangat cantik dan berwarna-warni. Di sini, perempuan tidak dibenarkan masuk tanpa Chador. Chador ni adalah kain untuk menutup seluruh badan. Sama konsepnya seperti di Masjid Putrajaya di mana perempuan yang berseluar harus memakai jubah. Tapi kalau anda memakai jubah yang longgar, anda tidak perlu memakai Chador. Ketika itu, penjaga perempuan itu seperti tahu itu adalah kali pertama saya ke situ, jadi dia tolong pinjamkan Chador dari pejabat. Dan sebelum masuk juga, anda diminta untuk melakukan pemeriksaan badan seketika. Mungkin untuk memmastikan anda tidak membawa masuk barang yang dilarang. Yang bukan Islam juga tidak dibenarkan masuk ke dalam perkarangan masjid ini. Penglihatan saya terpaku dengan kecantikan seni bina masjid tersebut. Masjid ini juga adalah salah satu masjid yang tercantik di Iran. Kalau anda betul-betul mahu melihat kecantikan masjid ini, pastikan anda datang ke sini apabila sudah di Shiraz.

Saya tak masuk ke dalam masjid. Walaupun saya sendiri orang Islam, tetapi perasaan takut untuk memasuki rumah ibadah (termasuk agama lain) itu ada. Terutamanya di Iran yang seperti semua tahu, ada yang Syiah dan ada yang Sunni. Memandangkan saya tak dapat bezakan antara kedua-dua masjid tersebut dari luaran (kalau dari dalam, insya Allah boleh bezakan), jadi saya membuat keputusan untuk hanya memerhatikan dari luar. Takut kalau secara tidak sengaja bersikap biadap atau tidak menghormati rumah ibadah mereka. Dan takut menganggu orang lain yang sedang beribadah. Saya pun tak membaca terlebih dahulu mengenai masjid-masjid di Iran memandangkan saya pun tak jangka akan melawat tempat seperti ini ketika lawatan kerja. Tapi kalau saya backpack sendiri, sudah pasti saya akan senaraikan masjid-masjid yang boleh dilawat dan mengambil peluang untuk solat di situ.


Ini sajalah yang saya mampu sampaikan mengenai Iran. Iran is very interesting and fascinating in its own way. You get mesmerized with the beautiful architecture and historical events that happened in the past during its glory and downfall. Iranians are also friendly and when they smile at you, you just melt because you feel touched with their kindness and warmth gesture. Choose the paths less taken and you will find the joy and indescribable feelings as you experience the environment and explore the culture and places. You will either encounter bad experience or you will find memories that you will never forget and meet super duper friendly people where you feel welcomed. My first experience in Iran as a tourist was beautiful but hopefully, I will come back as a traveler to discover what Iran may be “hiding” from tourists (be it good things or bad things).

Sekian coretan saya sebagai seorang pelancong. Terima kasih.


Previous Post
Next Post

post written by:

0 comments: