Pakej Bajet Island Hopping Semporna!



Powered by 12Go system

Wednesday, July 8, 2020

Assalamualaikum & Hello Sunchasers | Tahun lepas kami berpeluang mengikuti rombongan Fam Trip oleh Tourism Malaysia ke Sabah. Korang boleh baca entri Kembara Sabah V.1 dan Kembara Sabah V.2 sebelum ni yang mana kami telah menceritakan pengalaman kami menginap di dalam hutan belantara di Lahad Datu dan juga di pinggiran Sungai Kinabatangan. Kali ini ceritanya adalah di Sandakan di mana kami dibawa melawat tempat tempat menarik yang wajib dikunjungi jika melancong ke Sandakan. Jadi ini dia 9 lokasi yang korang mesti kunjungi kalau korang datang ke Sandakan ok! Lepasni jangan dok tanya dah Ada Apa Di Sandakan tau!


1. SANTUARI ORANG UTAN SEPILOK

Nama Sepilok memang dah terkenal dan kami sendiri pun memang tahu akan kewujudan pusat penjagaan Orang Utan ni, tapi tak pernah terlintas akan sampai ke sini. Orang Utan di sini dijaga dengan rapi tapi pada masa yang sama diberi kebebasan untuk hidup didalam hutan. Orang ramai juga diberi peluang untuk berinteraksi dengan Orang Utan samada secara dekat mahupun disebalik penghadang. 

Pada separuh masa pertama, kami dibawa ke kawasan di mana Orang Utan ni makan tengah hari. Kemudian kami dibawa pula melihat anak-anak Orang Utan bermain dan bergayut di taman permainan mereka. Pada separuh masa kedua, kami dibawa ke satu bilik tayangan untuk menonton video pendek menceritakan sejarah pusat santuari ini dan juga kisah disebalik usaha pemeliharaan & pemuliharaan species Orang Utan di Sepilok ini. Memang satu pengalaman yang sangat unik! Tiket masuk hanya RM 5 untuk Dewasa dan RM 2 untuk Kanak Kanak.


2. BORNEAN SUN BEAR CONSERVATION CENTRE (BSBCC)

Terletak bersebelahan dengan Santuari Orang Utan Sepilok itu tadi adalah sebuah lagi pusat konservasi species hidupan terancam iaitu Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC) yang bertanggungjawab dalam memastikan kelangsungan species Beruang Madu di Sandakan dan amnya di seluruh Malaysia. Kami berpeluang berjumpa dengan pengasas pusat ni iaitu Dr. Wong. Sangat humble dan peramah orangnya. Untung kami dapat berjumpa beliau, banyak kisah kisah dan info menarik yang beliau kongsikan. Kami dibawa berjalan sepanjang kanopi yang dibina di bahagian atas kawasan konservasi untuk melihat gelagat dan aktiviti beruang madu yang berada di sini. Recommended sangat untuk korang rasai pengalaman ni!

3. SANDAKAN WAR MEMORIAL PARK

Kami baru tahu bahawasanya Sandakan ini adalah satu bandar yang kaya dengan sejarah. Lebih lebih lagi sejarah berkaitan dengan penjajahan Jepun keatas Tanah Melayu dan Borneo satu masa yang lalu. Sandakan rupa rupanya antara bandar yang terkesan teruk oleh penaklukan tentera Jepun satu masa lalu. Untuk melihat sendiri dengan lebih dekat tinggalan-tinggalan sejarah ini, kami dibawa ke Sandakan Memorial Park. Di sini, kami dapat lihat sendiri senjata, mesin, kenderaan dan juga binaan yang digunakan tentera Jepun sewaktu penjajahan mereka satu ketika dahulu. Luas juga kawasan memorial park ni, standby air sebotol dua ya!


4. PUU JIH SHIH BUDDHIST TEMPLE

Kuil yang terletak di atas bukit di kawasan Tanah Merah ni memang satu tarikan yang korang memang kena datang kalau melawat Sandakan. View di luar kuil ni memang menakjubkan dan disebabkan lokasinya di atas bukit kami dapat tengok pemandangan seluruh Teluk Sandakan..Fuhh cantikk.. Dalam kuil pun cantik, hampir keseluruhannya berwarna merah. Untuk masuk, pengunjung tak dikenakan sebarang bayaran.


5. GEREJA ST MICHAEL AND ALL ANGELS

Diwartakan sebagai sebuah tapak warisan dunia, gereja ni adalah antara bangunan yang masih terpelihara elok walaupun telah melalui Perang Dunia Ke-2. Ia antara 3 rumah ibadat yang tak dimusnahkan oleh tentera Jepun. Gereja ni dan kawasan sekitarnya kelihatan dijaga dengan sangat rapi. Sangat bersih kawasan sekitar gereja ni. Kami tak masuk ke dalamnya, dapat bergambar dari luar pun dah cukup rasanya. Memang cantik dan kelihatan seperti bangunan di era victorian. Korang kena datang dan tengok ok!

6. SANDAKAN HERITAGE MUSEUM

Sandakan ni sebenarnya kaya dengan sejarah tau korang. Mana lagi lokasi untuk kita belajar mengenai sejarah kalau bukan di muzium kan? So, jangan lupa untuk datang melawat sendiri ke Sandakan Heritage Museum ya. Bermacam perkara yang korang bakal ketahui bila dah masuk ke muzium ni. Sejarah tentang etnik etnik di Sabah, tentang pembukaan bandar Sandakan, Penjajahan Jepun, The Death March dan macam-macam lagilah! Sememangnya satu lokasi yang korang wajib singgah. Murah sahaja bayaran masuk, cuma RM2 untuk rakyat Malaysia.


7. SANDAKAN RAINFOREST DISCOVERY CENTRE

Kalau korang dah letih pusing pusing dekat bahagian bandar tu, marilah datang ke rainforest centre ni. Centre ni letaknya di hutan simpan Kabili-Sepilok dan disini korang boleh chill chill dalam hutan dan boleh juga berjalan menaiki kanopi untuk lihat hutan simpan ni dari atas. Centre ini juga merupakan lokasi utama bagi aktiviti birdwatching di Sandakan. Tahun lepas, The Bornean Bird Festival 2019 telah diadakan di sini. Bayaran masuk RM 7 bagi Dewasa dan RM 3 bagi Kanak Kanak.

8. RUMAH AGNES NEWTON KEITH 

Rumah yang dahulunya didiami oleh Agnes Newton dan suaminya Harry Keith, kini ditukar menjadi sebuah muzium bagi memperingati jasa Agnes Newton yang telah memperkenalkan Sabah ke mata dunia melalui karya penulisan beliau. Tiga buah buku beliau yang mengangkat kisah tempatan Sabah adalah "Land Below The Wind", "White Man Returns" & "Beloved Exiles". Kami tak pernah baca buku yang ditulis Agnes, tapi pasti banyak yang dikupasnya sehingga menempatkan namanya sebagai seorang ikon penting dalam sejarah Sandakan dan Sabah. Bayaran masuk RM2.


9. SANDAKAN CENTRAL MARKET

Kami kalau pergi travel memang suka untuk mendalami aktiviti harian orang tempatan di sesuatu tempat. Disebabkan itulah kami turut masukkan Sandakan Central Market atau Pasar Umum Sandakan ni dalam senarai ni. Di pasar ini kita dapat lihat pelbagai ragam warga tempatan Sandakan, dan disini juga kita dapat beli bermacam jenis buah tangan untuk dibawa pulang. Seriously guys, jangan miss out untuk datang ke pasar ni ya. 

Jadi berdasarkan saranan tourguide kami sewaktu kami mengikuti trip bersama Tourism Malaysia tempoh hari, itulah dia 9 lokasi yang memang pelancong wajib kunjungi kalau datang ke Sandakan. Bila dah datang Sandakan ni, rasa terchyduk pun ada sebab rasa macam cetek sangat pengetahuan kami tentang sejarah di Malaysia ni. Bandar Sandakan ni sememangnya sungguh kaya dengan nilai sejarah. Kalau nak cerita kat sini takut tersalah fakta, jadi korang datanglah sendiri ke Sandakan dan hubungin tour guide kami yang bernama Gary ni, website dia http://borneosandakan.com/ dan contact number dia 0146542818, bagitau kat dia yang korang nak buat Jejak Warisan Sandakan. Dia akan bawa korang go through apa yang kami went through. Memang menarik! 

Harap senarai ni dapat membantu korang untuk navigate korang punya trip di Sandakan Sabah, have fun menjejak warisan di Sandakan dan kirim salam dekat semua Orang Utan di Sepilok ya! Jumpa lagi di lain entri, Assalamualaikum.
Previous Post
Next Post

post written by:

0 comments: