Assalamualaikum Sunchasers | Pengalaman bermalam di Tabin Wildlife Resort merupakan satu memori yang unik dan membuatkan saya lebih menghargai alam sekeliling kita. Namun, kembara saya di Sabah ini baru sahaja bermula dan hentian kami yang selanjutnya ternyata lebih mengujakan!
Destinasi kami yang seterusnya adalah Sandakan! Sebuah daerah di Sabah yang sebelum ini tidak pernah saya terfikir untuk jejaki, tapi kini sudah punyai tempat yang istimewa di hati saya.
Dari Lahad Datu kami terbang menggunakan MASWings untuk ke Sandakan. Penerbangan yang mengambil masa lebih kurang setengah jam in ditaja sepenuhnya oleh MASWings sendiri. Juga perlu saya kongsikan disini betapa comelnya Lapangan Terbang Lahad Datu ini. Dari luar, mula mula saya sangkakan foodcourt! Haha. Namun walaupun kecil, impaknya sangat besar dalam menghubungkan Lahad Datu dengan daerah daerah yg lain dalam negeri di bawah bayu ini.
Seusai mendarat daripada penerbangan pendek itu, kami disambut oleh En.Gary, pemandu pelancong yang akan bersama kami sepanjang di Sandakan ini. Seorang yang sangat peramah dan mempunyai pengetahuan yang amat luas tentang Sandakan. Dia tahu semua tentang Sandakan, baik sejarahnya, budayanya mahupun alamnya. TABIK SPRING kepada beliau atas segala input yang telah dikongsikan!
Bas meluncur terus ke destinasi pertama kami di Sandakan ini iaitu The Myne Resort. Kami akan menginap di resort bersebelahan Sungai Kinabatangan ini selama satu malam. The Myne Resort ini terletak jauh di pedalaman Sandakan, dalam satu perkampungan yang diberi nama Kampung Bilit. Lebih kurang 2 jam perjalanan menaiki bas dari Lapangan Terbang Sandakan.
Mengejar Mentari di Sungai Kinabatangan
Turun sahaja dari bas, belum sempat kami naik ke bilik, kami terus dibawa ke jetty kecil berdekatan resort ini, lalu bermulalah agenda pertama kami disini iaitu, mengejar mentari terbenam sambil menyelusuri sungai kedua terpanjang di Malaysia, Kinabatangan.
Sepanjang berada di atas boat sambil menjamu mata melihat ruang alam ciptaan Tuhan ini, pemandu boat kami turut berkongsi pengetahuan berkaitan Sungai Kinabatangan. Antaranya, sungai ini merupakan habitat kepada ratusan buaya. Dan menurutnya, ada buaya yang mencecah hingga 3 meter panjangnya. Haha. Masa dengar tu cuak jugak sebab risau kalau kalau tiba tiba ada buaya yang menjenguk memberi salam. Minta simpang weh.
Nasib kami baik sebab dapat tengok seekor buaya sedang beristerirehat di tepian sungai sambil ditemani anaknya. Betul ni weh, memang ada seekor buaya besar dan seekor lagi buaya kecil. Tak tahu la hubungan antara dua tu, tapi dari bentuk muncung mulutnya macam satu keluarga. Last saya tengok buaya depan mata macam ni adalah masa darjah berapa entah dekat Perlis. Jadi, memang agak teruja kali ni.
Selain dari buaya, tarikan paling utama yang kami berpeluang saksikan di sepanjang Sungai Kinabatangan ini adalah Proboscis Monkey ataupun Long Nosed-Monkey. Spesis monyet ini adalah spesis endemik di Sabah. Kalau di Semenanjung, untuk lihat monyet ini, kita kena pergi ke Zoo tapi di Sabah, ataupun lebih khusus lagi di Kinabatangan, spesis unik ini bebas hidup di habitat mereka. Rasa sangat bertuah dapat peluang sebegini. Dari lagaknya, macam diorang ni dah biasa dengan kehadiran manusia di sekitar habitat diorang, syok saja tengok diorang dok lepak dekat dahan-dahan pokok di tepi sungai.
Sesudah melihat haiwan haiwan itu, boat dipacu pulang kearah The Myne Resort. Sebagai seorang yang suka menghayati matahari terbit dan terbenam, pengalaman menyaksikan matahari terbenam sambil menuju laju kearah matahari itu, memang salah satu goal yang sekarang sudah boleh saya 'tick'. Lain macam rasa dia. Meremang bulu roma masa tu. Sekali lagi, syukur atas peluang ini.
Bilik The Myne Resort | Luas, Tenang dan Selesa.
Selesai dengan agenda pertama, kami diberikan kunci bilik dan masing masing bergerak ke bilik yang telah ditetapkan. Saya dah lupa bilik masa tu nombor berapa, tapi agak jauh dari lobby resort ini. Sambil berjalan ke bilik, saya 'ditemani' seekor anak anjing yang comel tapi disebabkan saya ni penakut anjing, maka terpaksalah lajukan langkah secepat mungkin untuk sampai ke bilik.
Sampai sahaja di bilik, perasaan yang hampir sama seperti di Tabin Wildlife Resort tempoh hari. Biliknya sangat luas dan terasa vibe rustic tu. Sedikit old school dan memang sesuai untuk mereka yang mencari ketenangan dari hiruk pikuk kota. Diluar ada balkoni yang agak luas untuk penginap duduk berehat santai sambil menikmati pemandangan hijau pokok-pokok dan mengamati kemegahan Sungai Kinabatangan. Sumpah superb pemandangannya.
Night Walk Mencari Enggang
Siang melabuhkan tirai dan malam pula menjelma. Selepas makan malam, agenda diteruskan lagi dengan berjalan malam di hutan sekitar resort yang juga diberi nama Myne Safari . Aktiviti ini adalah untuk melihat ragam haiwan di waktu malam dan jika bertuah, kami bakal berpeluang melihat burung Enggang atau Hornbill yang sedang memeram telur di dalam dahan pokok.
Sebelum kami bergerak ke dalam hutan, ada satu insiden menarik berlaku. Dari jauh, terlihat sekumpulan haiwan yang seakan-akan Lembu/Kerbau sedang beristirehat di perkarangan resort. Kami yang merupakan sekumpulan manusia yang penuh curiousity pun bergerak mendekati kumpulan haiwan itu untuk pastikan haiwan apa sebenarnya itu. Semakin dekat, semakin jelas kami dapat lihat bahawa haiwan itu ternyata bukanlah Lembu atau Kerbau, tetapi Babi Hutan! Haha. Terkejut sorang-sorang! Pakat berselerak lari. Rupanya menurut pekerja di situ, ini adalah sesuatu yang normal dan berlaku setiap hari. Fuh, nasib baik tak pergi belai belai diorang. Haha.
Kami ditemani beberapa orang penduduk tempatan yang bekerja di The Myne Resort. Mereka menerangkan banyak perkara tentang tumbuh tumbuhan dan haiwan di Myne Safari. Antara yang paling terkesan buat kami semua adalah apabila kami dibawa ke sebuah pokok tua yang sangat besar dan terdapat satu pintu kecil untuk masuk kedalam pokok itu. Pokok itu masih hidup sekarang namun punyai sejarah yang tersendiri.
Sekitar zaman penjajahan Jepun di Borneo dan Tanah Melayu, pokok ini digunakan untuk penduduk tempatan bagi mengelakkan dari ditangkap dan diseksa tentera Jepun. Mereka bersembunyi di dalam pokok ini. Besar ruangan dalam pokok ni. Kami mencuba sendiri masuk kedalam pokok ini, rasanya kalau diatur betul-betul, boleh muat 15 orang dalam satu satu masa. Tak pernah seumur hidup buat kerja macamni weh. Teruja dan seram pada masa yang sama.
Sebagai penutup untuk malam yang penat tapi menyeronokkan ini, kami dibawa untuk melihat burung Enggang yang sedang menjaga telurnya. Satu keunikan burung Enggang yang saya baru tahu adalah, mereka adalah spesis yang cuma ada satu pasangan sepanjang hidup mereka. Spesis yang sangat setia dengan pasangan mereka. Apabila burung Enggang betina bertelur, ia akan bertelur di lubang yang terdapat di dahan atau batang pokok. Pasangannya pula akan membina dinding daripada lumpur dan tanah liat untuk menutupi ruangan tersebut hingga cuma paruh si Enggang betina sahaja yang boleh keluar. Ini adalah mekanisma untuk memastikan si Enggang betina dan telurnya selamat dari ancaman. Si Enggang jantan akan bertanggungjawab untuk menyediakan makanan buat si Enggang betina. Menarik kan? Tak sangka dalam dunia haiwan juga punya kisah romantis sebegini.
Kami bertuah kerana pada ketika itu, terdapat seekor Enggang yang masih didalam sarangnya. Dek kerana sarangnya itu rendah sahaja, kami dapat mengintai sendiri si Enggang betina yang kelihatan seperti sedang menunggu makanan tiba dari si pasangannya. Sesekali dihulurkan daun kepada si Enggang dan ia pun respon dengan mengeluarkan paruhnya untuk menarik daun itu. Semua ni memang sangatlah baru buat saya. Pasti akan saya kenang selamanya. Sesudah itu, kami terus pulang dan tamatlah agenda untuk hari itu.
Keesokan harinya, kami dibawa sekali lagi menyelusuri Sungai Kinabatangan untuk lihat pula aktiviti haiwan-haiwan di situ pada waktu pagi. Pagi ini terlihat ada buaya sedang berenang dan seperti biasa monyet - monyet seperti Macaque dan Proboscis menemani kami di tepian sungai. Kami nikmati sepuasnya pemandangan dan pengalaman ini kerana sebentar lagi kami akan berangkat pergi dari resort ini untuk meneruskan kembara ke lokasi yang selanjutnya.
Dingin pagi itu membuatkan hati saya berasa sedikit sayu untuk meninggalkan ketenangan di Kinabatangan ini. 'Entah bila pula nak dapat pengalaman yang sebegini rupa',terlintas dalam hati. Rasanya susah dah untuk ulangi semua ni. Kalau nak datang sendiri-sendiri, sangat tipis kebarangkaliannya. Jadi dengan itu saya sangat berterima kasih kepada Tourism Malaysia atas kesempatan ini.
Setelah selesai mengangkat barang naik ke atas bas, kami terus bergerak pergi meninggalkan The Myne Resort. Hentian seterusnya pastinya menjanjikan pengalaman yang tidak kurang hebatnya, namun episode kami bermalam di tepian Sungai Kinabatangan ini pasti menjadi salah satu highlight untuk saya bagi tahun 2019 ini. Mujur ada blog Chasing The Sun ini untuk saya abadikan pengalaman ini. Setakat ini buat masa ini. InshaAllah Kembara Sabah V.3 menyusul nanti. Jumpa lagi!
Office Hotline
+6089 223366 / 223377
Mon – Fri, 8:00 – 17:00
Sat, 8:00 – 13:00
Fax Number
+6089 223355
Mobile Hotline
+6012 854 8788 (Waty)
+6016 215 8790 (Rahima)
+6017 270 8789 (Amin)
Facebook: Myne Travel & Resort
Myne Resort
Kampung Bilit, Kinabatangan, Sabah
0 comments:
Post a Comment