Pakej Bajet Island Hopping Semporna!



Powered by 12Go system

Wednesday, January 9, 2019

Manila Halal Food | 5 Tempat Makan Halal di Manila Filipina!

5 Recommendations Tempat Makanan Halal Di Manila, Filipina.

Background | Mabuhay Po! Pernah melancong ke Manila? Teringin pergi tapi risau akan makanan halal di sana? Jangan gusar kerana entry yang bakal saya kongsikan ini adalah mengenai makanan halal di Manila. Secara peribadi, Manila merupakan salah satu destinasi dalam senarai destinasi impian saya. Hal ini kerana Manila adalah sebuah kota raya pertembungan antara budaya Timur bertemu Barat. Untuk sebuah negara ataupun kota raya yang telah lama dijajah oleh Barat iaitu Sepanyol dan Amerika Syarikat, warisan kebudayaan gabungan ini amat kuat dan masih lagi diamalkan sehingga sekarang baik dari segi sosio-budaya, pertuturan, kenderaan, kulinari dan sebagainya. Orangnya pula ramah sekali, cantik-cantik dan kacak-kacak pula tu. Yelah, hasil perkahwinan campur kan? Pada awalnya, tidak dapat saya nafikan ada sedikit kegusaran tentang bagaimana tentang makanan halal sewaktu di Manila nanti? Adakah saya hanya mampu makan roti, salad ataupun berubah haluan menjadi seorang vegetarian? Namun, saya bersyukur kerana Allah S.W.T. menjawab keluhan hati kecil saya dengan mempermudahkan urusan pencarian makanan halal di Manila. Sebelum ke sana, kami berdua (I went there with my mom) ada membuat sedikit carian di google dan mendapati ada beberapa restoran makanan halal di sana. Ya, tidak lah banyak namun tetap ada. Di bawah ini adalah senarai restoran halal yang sempat kami tuju.

1) Gilak by Hossein | Restoran yang berstatus halal ini menyajikan makanan yang berasaskan Timur Tengah seperti Kebab, Nasi Saffron, Pakora, Naan dan pelbagai lagi. Dari segi harga memang agak mahal tapi saya percaya anda semua pasti berpuas hati dengan portion makanan di sini. Bayangkan makanan untuk satu orang tapi boleh dinikmati oleh dua hingga ke tiga orang. Tapi buat anda yang mempunyai selera besar seperti saya, satu porsi hidangan cukup buat anda sahaja. Tiada masalah. Untuk anda yang ingin mencuba menu masakan halal di sini, ini alamatnya ; 2ND Level Greenbelt 3, Ayala Center Makati Avenue, Makati City, Makati, 1223 Metro Manila, Philippines.
2) The Halal Guys PH | Diasaskan oleh trio dari Mesir, restoran halal ini memulakan langkahnya di Amerika dan Manila merupakan destinasi antarabangsa mereka yang pertama! Menawarkan menu yang sama popular di New York seperti The Rice Platter, anda boleh memilih sama ada mahukan lauk Ayam Racik, Daging Panggang Cincang atau kedua-duanya sekali. Menu yang sungguh lazat ini dihidangkan bersama nasi jasmine, roti pita, salad racik, tomato yang didadu kecil serta sos popular mereka (sos putih dan pedas). Sangat mengiurkan. Selain itu, mereka juga mempunyai hidangan lain seperti Falafels dan sandwiches serta air berkarbonat yang tidak kurang juga hebatnya. Untuk ke sana, ini alamatnya ; THE HALAL GUYS PH, 5th Level SM Mega Food Hall, SM Megamall. Restoran ini terletak di dalam SM Mall of Asia, lepas dah kenyang makan, boleh la membeli belah pula.
3) Martabak CafĂ© | Hasil terserempak dengan dua orang gadis Malaysia yang juga merupakan pelancong di sini, mereka memberitahu tentang restoran halal di dalam kawasan hypermarket yang sama. Kata pengunjung, tuan empunya restoran berkahwin dengan wanita tempatan dan telah menetap lama di Manila. Tidak hairanlah jika konsep makanan Malaysia-Singapura-Indonesia yang dibawa ke sini. Menawarkan menu seperti Satay, Nasi Goreng, Sup Ekor, Kari Ayam, Nasi Lemak, Soto Ayam, Bakso, Martabak Telur dan banyak lagi. Untuk anda yang memang selera melayu, boleh la berkunjung ke sini; Ground Floor, 131 North Parking Building, SM Mall of Asia, Bay Boulevard 1308, Philippines.
4) Berjaya Makati Hotel | Mendapat status halal dari HICCIP (Halal International Chamber of Commerce and Industries of the Philippines), hotel ini juga patut ada dalam senarai makanan halal kalian. Syukur kami sempat menikmati juadah di sini walaupun hanya untuk bufet sarapan pagi dan makan malam. Sesuai dengan statusnya sebagai hotel antarabangsa, hotel ini menawarkan menu makanan dari pelbagai negara seperti Filipina, India, Sepanyol, Amerika dan juga Malaysia! Namun begitu, amatlah rugi sekiranya kami tidak mencuba makanan tempatan kan? Maka, kami masing-masing mencuba Sizzling Bangus Sisig (Ikan Susu Racik Sizzling), Deep Fried Bangus (Ikan Susu Celup Tepung), Kalderetang Kambing, Beef Tapa (Daging Lembu Cincang masak Kicap), Halo-Halo (Pencuci Mulut Tempatan). Kesemua hidangan ini amatlah sedap dan kami sangat berselera menikmatinya. Hotel ini sering mendapat perhatian para warga muslim untuk menginap di sini kerana taraf status halalnya. Jadi, buat anda yang mahu mencuba, ini alamatnya ; 7835 Corner Eduque Street, Makati Ave, Makati, 1209 Metro Manila, Philippines.

5) RICH (Royal Indian Curry House) | Terletak di lokasi berhampiran dengan Hotel Berjaya Makati, restoran yang kelihatan gah dari luar ini cukup menggamit kami ke sini namun sayangnya ketika itu masa agak suntuk dan kami masih belum habis membeli-belah jadi, kami batalkan saja kehendak untuk singgah di sini. Restoran yang bertemakan masakan dari India ini menyajikan khusus makanan dari India Utara seperti Biryani, Ayam Mentega dan kari serta banyak lagi. Kata pengunjung, restoran ini menyediakan Kari yang terbaik di Filipina! Suasana yang cukup santai tapi masih mengekalkan konsep kemewahan berjaya membuatkan pengunjung berasa cukup selesa untuk bersosial sambil menikmati makanan yang sungguh enak. Buat anda yang ingin berkunjung ke mari, ini alamatnya; 5345 General Luna, Makati, 1208 Metro Manila, Philippines.
Sebenarnya, misi mencari makanan halal di Manila bukanlah sesukar yang disangka. Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Jadi untuk mengetahui dan lebih mengenali sesuatu tempat itu, haruslah berkunjung dulu. Tak rugi mencuba, kalau anda suka, kami pun gembira, tetapi kalau tak kena dengan selera, apa kami boleh buat. Ini cuma beberapa senarai restoran yang sempat kami ketengahkan, jangan terkejut jika masih ada banyak lagi restoran-restoran dan kedai-kedai makanan halal di Manila. Jujur saya katakan percutian selama 4 hari 3 malam di Manila adalah suatu pengalaman yang tidak mampu saya lupakan. Manila akan sentiasa tersemat di hati saya dan In shaa Allah jika diberi rezeki dan peluang, saya mahu ke sana lagi.
Assalamualaikum. Hanggang sa muli nating pagkikita.

By Chasing The Sun Guest Writer

Previous Post
Next Post

post written by:

0 comments: